fbpx

Bapa parah, selamatkan anak kena culik rakan kongsi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANGKAP layar rakaman video CCTV menunjukkan seorang lelaki menculik seorang kanak-kanak berusia 7 tahun di sekitar Johor Bahru, pada 12 Disember lalu.

JOHOR BAHRU – Cubaan sekumpulan lelaki menculik kanak-kanak berusia 7 tahun gagal apabila bapa mangsa tersebut berjaya menghalang kejadian berkenaan.

Bapa kanak-kanak tersebut yang berusia 40 tahun bagaimanapun mengalami kecederaan parah khususnya dibahagian muka dalam insiden berkenaan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 4.30 petang, 12 Disember lalu.

Menurut beliau, suspek utama seorang lelaki warga tempatan berusia 41 tahun berjaya ditahan polis pada hari sama.

“Suspek utama yang merupakan seorang rakan kongsi perniagaan kepada bapa kanak-kanak tersebut telah bersubahat bersama tiga lelaki lain untuk menculik kanak-kanak itu bagi mendapatkan wang tebusan berjumlah RM300,000.

“Cubaan pemerasan itu bagaimanapun gagal apabila suspek berjaya ditahan polis pada hari sama, bagaimanapun tiga rakan subahatnya masih diburu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Raub, suspek utama yang bekerja sebagai seorang mekanik kenderaan itu telah dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru, semalam mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

“Bapa kanak-kanak itu merupakan seorang warganegara China dengan taraf penduduk tetap Singapura, namun berada di negeri ini atas urusan perniagaan.

“Usaha mencari tiga rakan subahat suspek yang berusia 30-an masih diteruskan, mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini boleh menghubungi polis untuk membantu siasatan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI