KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melancarkan program Siswa Mall bagi menggalakkan pelajarnya terlibat dalam perniagaan atas talian.
Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd. Ghaffar berkata, program Siswa Mall tersebut merupakan kerjasama universiti tersebut dengan syarikat telekomunikasi, CelcomDigi Berhad.
“Program ini bertujuan melatih dan membantu pelajar UMT yang terlibat dalam perniagaan agar memperluaskan pasaran produk atau perkhidmatan mereka menerusi platform e-dagang.
“Ia sebagai galakan kepada mereka selain menerapkan nilai keusahawanan dalam kalangan pelajar universiti ini,” katanya pada majlis Penghargaan Rakan Industri UMT di sini hari ini.
Pada majlis sama, beliau melancarkan program Siswa Mall bersama Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Mohamad Idham Nawawi.
Mazlan berkata, produk dan perkhidmatan pelajar UMT yang menyertai program Siswa Mall itu akan dipasarkan menerusi platform e-dagang utama seperti Shopee, Lazada, Ebay dan Etsy.
Beliau berkata, program tersebut selaras dengan aspirasi kerajaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan pelajar.
“Kami harap program Siswa Mall ini mampu melahirkan usahawan digital yang kompetitif.
“Mereka disasar sedikit sebanyak mampu menyumbang kepada daya tahan ekonomi negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE