KLUANG – Seorang pekerja kebun sayur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan telah menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang wanita, dua minggu lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Tun Hla Kyam, 36, sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mujib Saroji.
Mengikut pertuduhan, lelaki warga Myanmar itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Au Ng Win, 36, yang juga difahamkan kekasihnya.
Perbuatan itu dilakukan tetuduh di sebuah rumah kebun sayur, Jalan Nyior Batu 5, Sri Lalang di sini pada pukul 11 malam, 10 Disember lalu.
Tertuduh juga didakwa tidak mempunyai dokumen sah memasuki negara ini dengan melakukan kesalahan pukul 9.30 pagi di Taman Ria Sri Lalang pada 13 Disember lalu ketika tangkapan dilakukan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Mahkamah, Inspektor Nur Hafieda Mohammad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh yang merupakan warga Myanmar sementara menunggu tarikh sebutan simulator kesalahan bagi mendapatkan jurubahasa.
Hakim menetapkan 30 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE