Seorang sahabat lama penulis semasa kami bersarapan mengutarakan buah fikiran yakni denyut kehidupan masyarakat kian dipenuhi molekul stres.
Dia mengemukakan asosiasi firasatnya secara serius di hadapan secawan kopi dan set roti bakar tatkala rintik hujan membasahi bumbung restoran mamak di Semenyih, Selangor.
Menurut sahabat yang sudah berusia 43 tahun, hidup diselubungi stres antara penyebab banyak kekacauan dan kemungkaran sosial mutakhir ini.
“Zaman ini zaman mencabar. Zaman pasca pandemik bikin ramai orang hadapi tekanan yang kuat. Tekanan kewangan, emosi. Isu-isu semasa pun boleh buat orang berasa stres.
“Stres ini punca banyak penyakit terutama sakit jiwa. Ada stres yang kita cari sendiri. Contoh stres nak bayar hutang kereta mewah. Ada yang stres sebab faktor luar kawalan,” katanya.
Tambahnya, stres mampu dikawal oleh hati dan perasaan dengan nilai sabar, mengelak cemburu dan iri hati, kurang ambil berat pandangan orang lain.
Berdasarkan info www.myhealth.gov.my., stres adalah tindak balas terhadap sebarang ancaman, cabaran atau tuntutan yang mengganggu perjalanan normal sistem badan.
Apabila rasa terancam, badan akan mengaktifkan sistem saraf untuk menghasilkan lebih hormon stres, termasuk adrenalin dan kortisol ke aliran darah.
Tindak balas stres membantu menghadapi cabaran, tetapi apabila melepasi tahap tertentu menjejaskan kesihatan, mengganggu perasaan, produktiviti, perhubungan serta mengundang masalah psikologi.
Pakar motivasi dan kaunseling, Hushim Salleh ketika ketika kami makan tengah hari di Klang beberapa hari lalu juga menyentuh sesuatu tentang stres.
Beliau dalam perbualan kami tidak menolak kemungkinan beberapa insiden yang mendapat tumpuan umum kebelakangan ini berpunca daripada stres.
“Ini mungkin sebab stres. Masalah kewangan pun boleh buat orang jadi stres,” katanya.
Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA) pada 2021 dipetik menyatakan, jumlah individu mengalami stres semakin hari semakin meningkat, seiring dengan situasi dunia yang kian mencabar.
Sementara Pakar Psikiatri dari Hospital Pakar KPJ Batu Pahat, Dr. Kartini Abdullah menerangkan, tanda-tanda stres boleh dilihat dari tiga segi, iaitu fizikal, mental dan tingkah laku.
Dari segi fizikal, orang yang menghadapi stres akan selalu berasa kering mulut, sakit kepala, susah tidur, jantung berdebar-debar, mudah penat dan sakit kepala serta perut.
Dari segi psikologi, individu menghadapi tahap stres tinggi akan menunjukkan tanda seperti mudah lupa, cepat marah, rasa gelisah dan bimbang serta kurang daya tumpuan.
Bagaimanapun, terdapat penyelesaian untuk menangani stres seperti bertenang, bernafas dengan dalam, berbicara dengan diri sendiri atau refleksi diri dan beribadat.
Begitu juga bercakap dengan seseorang, berurut, berehat dan mendengar muzik, beriadah, bersenam serta berfikiran positif.
Segala hujah dan pandangan di atas menunjukkan stres sememangnya suatu isu yang kian serius kerana boleh mengundang marabahaya.
Akan tetapi ia bukanlah sesuatu yang tidak boleh dikawal lantas bermaksud stres juga bukan justifikasi untuk mengizinkan perlakuan luar batas.
Perkara yang mustahak adalah bagaimana seseorang mengendali dan mengawal stres ketika berdepan dengan pelbagai tekanan hidup.