fbpx

Tiada lagi nyanyian Cek Mek Molek arwah datuk – Cucu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norhasliyana bercakap kepada pemberita di Masjid Tuminah Hamidi di Bagan Datuk hari ini. - Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/KOSMO!

BAGAN DATUK – Nyanyian lagu Cek Mek Molek menerusi panggilan telefon oleh Allahyarham Datuk M. Daud Kilau menjadi antara kenangan akan dirindui oleh Norhasliyana Hassan, 33.

Menurut cucu Allahyarham, penyanyi veteran tersebut sering menyanyikan lagu popularnya itu setiap kali menghubunginya untuk bertanya khabar.

“Datuk selalu hubungi saya untuk bertanya khabar, selepas itu dia pasti akan menyanyikan lagu Cek Mek Molek untuk saya.

“Kenangan ini yang akan saya rindu selain senyumannya. Sejak dia masuk ke hospital tempohari (12 Disember), sudah tiada lagi senyuman daripada datuk,” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Tuminah Hamidi di sini hari ini.

Menurut Norhasliyana, penyanyi yang dikenali sebagai Raja Gelek itu disifatkan sebagai seorang yang penyayang dan amat akrab dengan semua cucu.

Malah katanya, Allahyarham juga tidak pernah memarahi mereka sepanjang hayatnya.

“Dia tak kisah kalau cucu buat bising dan dia tak pernah marah kami. Pemergian datuk yang sangat penyayang ini pasti akan kami rindui,” katanya.

Sementara itu, mengulas kenangan terakhirnya bersama Allahyarham, Norhasliyana memberitahu, datuknya ada menyuarakan permohonan maaf ketika dia menjaga lelaki itu di hospital, Ahad lalu.

“Ketika di hospital, banyak yang kami bualkan. Tanpa pandang muka saya, dia minta maaf dan beritahu akan ‘pergi’. Dia juga pesan untuk mandikan (jenazah) dan kafan betul-betul. Saya tidak mahu fikir sangat apa dia cakap dan anggap datuk sedang mamai. Tidak sangka itu adalah kata-kata terakhirnya.

“Apa pun, kami sekeluarga reda. Datuk sekarang tidak sakit lagi dan dia pergi dalam keadaan yang cukup sifat kerana sepatutnya dia menjalani pembedahan kaki akibat jangkitan kuman semalam,” katanya.

Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 4.46 petang di Hospital Teluk Intan semalam, akan dikebumikan selepas solat Zohor hari ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Balai Baroh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI