PETALING JAYA – Penduduk Gaza yang kini diambang kebuluran bertindak mengejar dan memberhentikan trak bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mendapatkan makanan untuk mengisi perut masing-masing.
Menerusi sebuah video tular di media sosial, memaparkan situasi ratusan penduduk yang berlindung di kem Rafah nekad melompat ke atas trak bantuan ketika kenderaan tersebut melalui persimpangan Rafah di Gaza.
Dapat dilihat juga, beberapa individu yang berjaya memanjat trak tersebut bertindak melemparkan beberapa kotak dipercayai berisi makanan untuk diagihkan kepada penduduk yang menunggu sepanjang jalan.
Terdahulu, PBB dalam satu kenyataan telah memberi amaran kepada setiap pengendali trak makanan untuk berhati-hati disebabkan penduduk di Gaza semakin terdesak bagi mendapatkan makanan.
Menurut Ketua Agensi PBB, kerja menghantar bantuan ke wilayah di Gaza menjadi semakin sulit kerana orang ramai mengerumuni lori-lori dan mengambil sendiri makanan yang dibawa sebelum ia sempat dihantar kepada kawasan memerlukan.
Program Makanan Sedunia (WFP) telah menganggarkan lebih separuh penduduk Gaza kini mengalami masalah kebuluran.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan, jumlah bekalan bantuan yang dibenarkan memasuki Semenanjung Gaza tidak mencukupi sekali gus memaksa penduduk beralih kepada mod survival. – KOSMO! ONLINE