SEBERANG PERAI – Anggota bomba berjaya menyelamatkan seekor lembu yang hampir lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Jalan Simpang Empat, Permatang Buloh, Kepala Batas di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 4.40 petang itu berlaku ketika keadaan hujan lebat dan air memenuhi longkang berkenaan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya yang tiba di lokasi kejadian mendapati seekor lembu telah terjatuh ke dalam longkang berkedalaman empat meter.
“Bomba melakukan kerja penyelamatan menggunakan hos dan tali menyelamat.
“Lembu tersebut telah berjaya dinaikkan ke darat dalam keadaan masih hidup dan diserahkan kepada pemiliknya sebelum operasi ditamatkan pukul 5.01 petang,” katanya kepada pemberita hari ini.
Operasi berkenaan dijalankan oleh pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kepala Batas. – K! ONLINE