fbpx

Mahkamah: Jatuh hukum lelaki ‘stalk’ Acacia ditetapkan esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SHAH ALAM – Mahkamah Majistret di sini, menetapkan jatuh hukum ke atas seorang bekas pereka sambilan yang didakwa mengganggu jurugambar wanita menerusi aplikasi X, pada esok.

Majistret Sasha Diana Sabtu memutuskan demikian berikutan mahkamah terlepas pandang membawa tertuduh, Mohamad Safiq Rosli, 37, hari ini.

“Mahkamah kesal dengan perkara ini (proses membawa tertuduh ke mahkamah). Tarikh jatuh hukum kes ini ditetapkan pada 20 Disember (esok),” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas dalam prosiding itu berkata, pihaknya difahamkan Mohamad Safiq tidak dikeluarkan untuk dibawa ke mahkamah.

“Kami dimaklumkan bahawa tertuduh akan dibawa pada esok. Justeru, kami memohon esok bagi penyediaan fakta kes tersebut,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Safiq didakwa menggunakan akaun @sopert99 secara berulang mengganggu mangsa, Acacia Mardiana Daud, 31, di akaun “@ShaFoShizzle”.

Gangguan itu kemudian dibaca di sebuah rumah di daerah ini, yang mana tertuduh tahu gangguan berkenaan boleh mendatangkan ketakutan kepada mangsa termasuk melibatkan luahan perasaan.

Perbuatan itu dilakukan pada 15 Julai hingga 21 Julai lalu dengan kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 507A (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Jumaat lalu, Kosmo! melaporkan Mohamad Safiq menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Tertuduh pada Ogos lalu menjadi individu pertama didakwa mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaan selepas akta berkenaan dikuatkuasakan tahun ini.

Lelaki yang tular didakwa mengganggu jurugambar wanita sebelum ini ditahan di wad Jabatan Neurologi Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan.

Siasatan mendapati lelaki itu kerap menggunakan akaun Instagram dan X untuk menghubungi mangsa dengan turut memberi komen cinta dan menghantar pesanan berunsur lucah sehingga menyebabkan ketidakselesaan.

Mangsa dikenali sebagai Acacia Diana menarik perhatian netizen apabila mendedahkan nasib dirinya yang hidup ketakutan selama lapan tahun kerana diganggu seorang lelaki di media sosial. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI