fbpx

‘Kami semua tolong cari keadilan untuk hang’ – kawan Zaharif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara gambar-gambar yang dimuat naik oleh sahabat Allahyarham Mohammad Zaharif di akaun TikToknya.

PETALING JAYA – “Kami semua tolong cari keadilan untuk hang, pusing-pusing tempat kejadian untuk nak cari rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) sebagai bukti”

Demikianlah luahan sahabat kepada Allahyarham Mohammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, yang maut akibat dilanggar sebuah kereta berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Ipoh, Jumaat lalu.

Menerusi beberapa video yang dimuat naik di akaun @lpnqis, kelihatan beberapa sahabat Allahyarham berkumpul dan bersama-sama cuba mendapatkan bukti rakaman CCTV ketika kejadian berlaku.

Katanya, ia bagi mendapatkan keadilan buat Mohammad Zaharif yang maut dalam kejadian tragis berlaku kira-kira pukul 12.40 tengah hari selepas pulang dari sekolah.

Turut dikongsikan juga beberapa keping gambar memaparkan poster yang ditampal di kawasan sekitar beserta gambar Allahyarham ketika masih hidup dengan tanda pagar #JusticeforZaharif.

Sahabatnya juga menyifatkan Allahyarham merupakan insan yang baik kerana sering membantu dirinya ketika dalam kesusahan.

“Hanya Allah je yang tahu betapa rindunya aku dekat hang Zarep. Dialah sahabat susah senang aku. Sebelum ini dialah yang banyak belanja aku makan.

“Banyak nasihatkan aku, selalu ajak aku lepak. Ingat lagi dia pernah ajak duduk bilik sewa dengan dia.

“Tunggu aku dekat ‘sana’ tau. Al-fatihah buat sahabat susah senang, semoga kau tenang disana,” coretnya dalam video tersebut.

Sehingga kini video tersebut mendapat lebih 706,500 tontonan, 62,600 tanda suka dan 713 perkongsian.

Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang memberi sokongan dan semangat serta mendoakan agar pencarian sahabat-sahabat Allahyarham membuahkan hasil.

“Buat yang terbaik korang untuk arwah. Cari bukti untuk keadilan arwah, lawan korang lawan!,” komen Nazmiera.

“Semoga dipermudahkan segala urusan kamu ya. Carilah sampai dapat supaya kita dapat keadilan untuk arwah adik Zaharif,” komen Zira.

“Moga ada keadilan untuk arwah Zaharif. Semoga keluarga tabah dan kuat terima ketentuan Ilahi. Kami turut bersimpati, moga arwah Zaharif tenang di sana.. Al-Fatihah,” komen pengguna yang lain pula.

Terdahulu, Mohammad Zaharif Affendi yang menunggang motosikal dilanggar kereta ketika dalam perjalanan pulang dari sekolahnya di SMK Jati sehingga tular di media sosial.

Susulan itu, seorang pengawai kanan polis dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh pagi tadi atas tuduhan membunuh pelajar tingkatan lima itu.

Tertuduh, Mohd Nazri Abdul Razak, 44, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mahkamah menetapkan 7 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI