MELENTUR buluh biarlah dari rebungnya. Peribahasa itu bersesuaian dengan usaha untuk melestarikan ekosistem dan alam sekitar yang perlu dipupuk sejak kecil.
Pembangunan di sesuatu kawasan seperti pembinaan tapak industri, perumahan serta tempat pelancongan sudah pasti akan melibatkan aktiviti penerokaan alam.
Pembangunan yang dilaksanakan ini akan mengganggu kelestarian dan ekosistem persekitaran. Malah, lebih banyak kawasan akan diterokai dan dibangunkan bagi memenuhi keperluan ini.
Sekiranya pembangunan tidak diuruskan atau dikawal dengan baik, ia berupaya menjejaskan alam sekitar seperti pokok-pokok, bukit, lautan dan hutan bakau.
Kemusnahan hutan bakau pasti memberi kesan negatif kepada keseimbangan ekosistem, sekali gus menjejaskan kualiti hidup, tahap kesihatan dan survival manusia.
Dalam memupuk kepentingan dan kesedaran ini, Young Southeast ASEAN Leader Initiative (YSEALI) menganjurkan Program Kesedaran Pemeliharaan dan Pemuliharaan Ekosistem Marin Mersing di Johor baru-baru ini.
Pengurus Reef Check Malaysia dan pengasas bersama YSEALI Malaysia, Atteleth Don Peris berkata, program yang dianjurkan selama dua hari itu antara lainnya adalah untuk memupuk kesedaran dalam kalangan komuniti setempat terhadap kepentingan menjaga ekosistem marin di Mersing termasuk hutan bakau.
“Mersing merupakan satu daerah yang pesat membangun dalam sektor pelancongan.
“Keadaan ini sudah pasti akan berlaku pencemaran, selain penerokaan terhadap alam sekitar.
“Jadi, inisiatif kami adalah memberi pendidikan mengenai kepentingan menjaga alam sekitar kepada komuniti setempat.
“Seramai 17 peserta terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah menengah di sekitar daerah Mersing telah menyertai aktiviti berkenaan,” katanya ketika ditemui iGen di sini baru-baru ini.
Don Peris berkata, pesertanya terdiri daripada golongan belia setempat kerana bertujuan melahirkan generasi yang cintai alam sekitar di kawasan tersebut.
Ujarnya, mereka secara tidak langsung dapat berkhidmat menjaga kawasan setempat khususnya di Mersing yang memiliki pulau-pulau tumpuan pelancong.
Dalam program kesedaran selama dua hari itu yang turut dijayakan Pejabat Kedutaan Amerika Syarikat, antara pengisiannya adalah aktiviti eksplorasi ekosistem paya bakau dan pantai di Pulau Mawar.
“Dalam eksplorasi ini, para peserta diberi pendedahan terhadap kepentingan memelihara kewujudan hutan paya bakau.
“Seperti sedia maklum, hutan paya bakau merupakan satu pertahanan alam sekitar semula jadi daripada hakisan pantai,” katanya.
Selain itu, katanya, pelajar turut diberi pendedahan mengenai aktiviti latihan simulasi dalam kumpulan serta perbincangan tentang pembangunan dan pemuliharaan pulau.
Pada hari kedua pula, para peserta mengikuti aktiviti kesedaran pemuliharaan penyu di Pusat Konvervasi Pulau Tengah.
Menerusi lawatan itu juga, pelajar diberi pendedahan terhadap kepentingan menjaga spesies penyu yang semakin pupus di dunia akibat aktiviti penerokaan manusia terhadap alam marin.
Selain itu, peserta diberi pendidikan menjaga alam sekitar khususnya terumbu karang dan hidupan marin di kepulauan Mersing.
Usai menjalani program, seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tenggaroh A, Nur Melissa Emilda Md. Najib, 15, berkata, dia banyak belajar tentang kepentingan menjaga alam sekitar khususnya membabitkan marin.
“Kita sebagai masyarakat setempat perlu ada sifat cintai alam sekitar agar ia terjaga dengan baik.
“Kalau pulau dan pantai di sekitar kita penuh dengan sampah, sudah tentu ia merencatkan pemandangan mata.
“Ini akan memberi reputasi buruk terhadap masyarakat luar yang datang berkunjung ke tempat kita.
“Bila orang bercakap hal yang buruk, ia akan menyebabkan pelancong tidak mahu datang lagi,” katanya.
Sementara itu, seorang pelajar prauniversiti SMK Sri Mersing, Nur Afidania Hasnizam, 18, berkata, selaku penduduk dalam komuniti, masyarakat setempat harus menjaga kebersihan dan keindahan pantai serta pulau di Mersing.
Ujarnya, dengan mengekalkan status kebersihan dan keindahan, ia dapat menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa ke Mersing.
“Ia juga dapat meningkatkan pembangunan ekonomi bagi penduduk setempat yang menawarkan penyediaan logistik, penginapan, makanan dan minuman serta produk kraf tangan tempatan,” jelasnya.