SHAH ALAM – Totalife (M) Sdn. Bhd. (Totalife) mengunjurkan jualan pada tahun depan bertambah kepada RM40 juta berbanding jumlah yang dicatatnya pada tahun semasa adalah sebanyak RM20 juta.
Penambahan sekali ganda itu disumbangkan oleh produk baharu, sumbangan yang lebih besar dan di luar jangkaan daripada pasaran Sabah serta Sarawak yang mana pengedarnya di negeri tersebut aktif mencatat jualan yang menggalakkan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Danny Chew berkata, ini adalah perkembangan yang baik ekoran perluasan pasaran syarikat ke Malaysia Timur baru-baru yang memberi peluang kepada usahawan di sana menyertai syarikat, turut sama menaikkan imej sekali gus melonjakkan jualan.
“Kami juga berkeyakinan terhadap produk baharu yang dilancarkan baru-baru ini yang mana ia adalah daripada segmen pelangsingan badan yang dapat membantu meningkatkan tahap kesihatan pelanggan.
“Produk yang dikenali sebagai 7Days Curve itu bercirikan bio teknologi yang eksklusif dan ia bersesuaian untuk memenuhi permintaan pelanggan yang kini lebih peka menjaga tahap kesihatan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis makan malam Totalife yang meraikan lebih 1,000 pengedar aktif dan juga pelancaran produk terbaharu syarikat di sebuah pusat persidangan di sini baru-baru ini.
Produk baharu itu dtawarkan pada harga kira-kira RM5,000 sekotak.
Selain itu, Chew menerangkan, produk syarikat juga turut mendapat sambutan menggalakkan di luar negara dengan sumbangan daripada pasaran eksport adalah kira-kira 40 peratus yang melibatkan beberapa negara jiran.
“Kami juga akan menembusi pasaran baharu di Jepun dan Hong Kong tahun depan sebagai usaha untuk meluaskan empayar perniagaannya di peringkat antarabangsa,” katanya. -KOSMO! ONLINE