PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Tok Muda Datuk Abu Bakar Abdullah yang telah kembali ke Rahmatullah hari ini.
Menurut Istana Negara dalam satu kenyataan, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham.
Ujarnya, baginda berdua berharap agar seluruh keluarga Allahyarham bersabar dan tabah menghadapi dugaan dan suasana pilu itu.
“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai khidmat bakti dan jasa Allahyarham, selaku Orang Besar Enam Belas, kepada Kesultanan Pahang, masyarakat dan negeri Pahang.
Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” katanya di laman Facebook hari ini. – K! ONLINE