DUNGUN – Penduduk Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Tebing Tembah, Paka, di sini mendakwa aktiviti kuari di kawasan bukit menyebabkan kawasan kediaman mereka dilanda banjir lumpur sejak setahun lalu.
Dalam kejadian terbaharu pada Jumaat lalu, sebanyak 10 keluarga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Tebing Tembah, di sini setelah rumah mereka dimasuki banjir lumpur pada pukul 10 malam.
Seorang penduduk, Mohd. Saufi Izami Mat Nazim, 35, mendakwa, aktiviti itu telah menyebabkan air terjun Panchor melimpah ke kampung.
“Sebelum ini walaupun penempatan kami pernah dilanda banjir, airnya jernih dan tidak pernah membawa lumpur,” dakwanya.
Mohd. Saiful Imran Mat Nazim, 38, pula mendakwa, sistem perparitan yang tidak sempurna semakin memburukkan lagi situasi banjir di kawasan perumahan tersebut.
Dakwanya, sistem perparitan yang sempit tidak mampu menampung limpahan air sungai dan hujan lebat.
“Tidak sampai sejam selepas hujan lebat, air bercampur lumpur dari kawasan bukit mula memasuki rumah kami.
“Walaupun banjir sudah mulai surut semalam (kelmarin), kami masih ragu-ragu untuk mencuci rumah kerana bimbang ia akan berulang lagi,” katanya yang menggesa pihak berkuasa menyelesaikan masalah banjir lumpur tersebut.