PETALING JAYA – Rakaman video memperlihatkan seorang suami berusaha memujuk isterinya yang sedang berjalan sendirian setelah mengalami pertengkaran di dalam kereta mendapat perhatian di media sosial.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik @thesemut di aplikasi X, kelihatan seorang lelaki memandu kereta perlahan-lahan di tepi jalan sambil cuba mengejar seorang wanita yang dikatakan isterinya.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika wanita itu merajuk dan keluar dari kenderaan, manakala suaminya cuba memujuknya dengan penuh kasih sayang dari belakang.
Akibat kejadian itu, kereta lain terpaksa beratur panjang sehingga mengakibatkan kesesakan lalu lintas di jalan raya.
Rata-rata netizen berasa terhibur melihat gelagat pasangan berkenaan terutama golongan lelaki.
Malah, kebanyakan mereka berkata mereka memahami keadaan lelaki itu.
“Janganlah begitu kak, merajuk dekat rumah nantilah. Ini kira menyusahkan orang lain. Bukan semua tempat boleh bawa emosi,” komen Izham.
“Maza zaman bercinta aku pernah buat macam ini. Laki aku keluar daripada kereta ikut je aku daripada belakang nak pujuk. Lepas itu, dia geram. Dia angkat je aku, dah macam nak kena culik pula,” kongsi Farhana.
“Bertabahlah nak pujuk tu. Cuba bagi hadiah atau bawa pergi makan tempat kegemaran dia nanti. Esok lusa berbaik balik,” tambah Izzah.
Sehingga kini video tersebut telah mendapat sebanyak 233,000 tontonan dan 3,400 tanda suka. – KOSMO! ONLINE.