KOTA BHARU – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerima peruntukan sebanyak RM35.8 juta untuk menghadapi bencana banjir semasa musim Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia melibatkan peruntukan persekutuan sebanyak RM13.7 juta manakala RM22.1 juta untuk peruntukan negeri.
Menurutnya, selain itu sebanyak RM3 juta diberikan kepada JKM untuk pembelian makanan teknologi retort bagi kegunaan makanan mangsa dalam tempoh 24 jam pertama pembukaan pusat pemindahan sementara (PPS).
“JKM mempunyai lapan buah depoh, 137 stor negeri dan daerah, 60 mini depoh kontena selain 580 pangkalan hadapan yang menempatkan keperluan asas mangsa bencana,” katanya pada pemberita selepas mengadakan tinjauan di Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DSKB), Taman Kemumin di sini hari ini
Mengulas lanjut, Nancy memberitahu, JKM telah mengenal pasti dan menyediakan sebanyak 8,481 PPS di seluruh negara yang mampu menampung sebanyak 2.15 juta penduduk pada satu-satu masa.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 5,063 PPS merupakan premis sekolah dan selebihnya terdiri daripada balai raya dan masjid. – KOSMO! ONLINE