SERDANG – Tiada pergerakan tanah signifikan dikesan di kawasan tanah runtuh di Jalan Wawasan 3/9 dan 3/14, Puchong di sini dua hari selepas kejadian tersebut berlaku.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, ketika ini terdapat beberapa takungan air di bahagian bawah runtuhan tanah tersebut serta sedikit pergerakan pada pokok-pokok serta jalan tar di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun katanya, dikhuatiri berlakunya hujan lebat yang mungkin boleh menyebabkan berlaku pergerakan lain.
“Jabatan-jabatan lain seperti Jabatan Kerja Raya (Bahagian Cerun dan Forensik), Pejabat Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) terus memantau keadaan di sini.
“Semalam juga, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sudah ditutup kerana lapan individu yang berada di situ telah berpindah ke rumah saudara mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat lokasi kejadian tanah runtuh berkenaan.
Anbalagan berkata, ketika ini Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) menggunakan dron untuk memantau keadaan tanah serta retakan bangunan rumah-rumah yang terlibat dalam kejadaian berkenaan.
“Jadi, daripada situ kajian hari demi hari akan dibuat melihat pada retakan tersebut sama ada dia lebih membesar atau ada perubahan dan sebagainya dan kajian seterusnya akan dibuat JMG untuk dilaporkan kepada pihak kami.
“Kemungkinan jika berlaku hujan lebat, mungkin akan berlaku pergerakan tanah kerana kita tahu bahawa di belakang di tempat di mana tanah runtuh itu ialah longkang monsun,” jelasnya.
Katanya, susulan tanah runtuh itu longkang monsun tersebut kini tersekat dan akan menyebabkan berlakunya takungan air.
“Justeru kehadiran pihak JMG, JKR ini mereka akan melihat keadaan-keadaan ini dan akan ada cadangan-cadangan untuk mengalirkan longkang monsun ini ke arah lain supaya terus ke sungai.
“Setakat hari ini juga, daripada empat kenderaan yang dilaporkan terlibat satu kenderaan sahaja dapat dialihkan dengan mudah manakala tiga lagi masih belum dapat dibawa keluar,” katanya.
Selain itu katanya, proses pemasangan cerucuk besi juga sedang giat dijalankan dimana sebanyak 46 sudah dipasang semalam dan enam cerucuk besi dipasang hari ini.
“Bagaimanapun ada gangguan bekalan elektrik yang memaksa pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) datang untuk memotong wayar di atas supaya kerja-kerja pemasangan dapat dijalankan dengan sempurna.
“Pemasangan semua cerucuk besi dianggarkan mengambil masa selama dua minggu, bagaimanapun ia bergantung kepada keadaan cuaca. Justeru kita berharap agar keadaan cuaca baik, serta mesin-mesin dapat berjalan dengan sempurna supaya kerja-kerja pemasangan dapat disiapkan dalam tempoh itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE.