MADRID – Real terus memberi tekanan kepada Girona dalam perebutan takhta kejuaraan La Liga musim ini selepas mencatat kemenangan 4-1 ke atas Villarreal pada perlawanan yang berlangsung di Santiago Bernabeu awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, Real yang menerima sokongan padu penyokong sendiri meledak empat gol, masing-masing satu gol menerusi Jude Bellingham, Rodrygo, Brahim Diaz dan Luka Modric manakala gol Villarreal dijaringkan Jose Luis Morales.
Jurulatih Real, Carlo Ancelotti memuji aksi ditampilkan barisan pemainnya apabila berjaya mengekalkan rentak konsisten bagi terus menghidupkan peluang untuk mencabar takhta kejuaraan liga.
“Satu aksi cukup sempurna daripada semua pemain kerana masing-masing memberikan komitmen sepenuhnya kepada pasukan. Selain itu, aksi cemerlang individu juga sangat bagus, terutamanya Bellingham dan Modric.
“Apa yang penting adalah kami berjaya lakukan tugas dengan baik dan perlawanan hari ini (semalam) mungkin aksi terbaik kami. Saya juga gembira dengan prestasi ditunjukkan barisan pertahanan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengakui bahawa Girona adalah pencabar utama Los Blancos bagi saingan musim ini selain tidak mengambil mudah cabaran daripada pasukan-pasukan lain seperti Barcelona dan Atletico Madrid.
“Buat masa ini, Girona adalah musuh terbesar kami untuk kejuaraan liga. Bagaimanapun, saingan liga masih panjang, jadi kami tidak boleh ambil mudah cabaran Barcelona dan Atletico juga,” ujar Ancelotti. – AGENSI