LONDON – Arsenal kembali merampas kedudukan carta Liga Perdana Inggeris selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Brighton pada aksi kelmarin, namun pengurusnya, Mikel Arteta masih belum berpuas hati.
Pada aksi tersebut, Gabriel Jesus dan Kai Havertz meledak gol berkenaan pada separuh masa kedua perlawanan di Emirates ketika Arsenal berjaya mendominasi perlawanan dan banyak melakukan percubaan berbahaya.
Bagaimanapun, Arteta masih belum gembira dengan prestasi para pemainnya terutama jentera serangan apabila mereka berjaya mencipta 16 percubaan terbaik sepanjang perlawanan dan hanya menghasilkan dua gol.
“Kami mempunyai para pemain hebat yang mampu mencorakkan perlawanan serta melakukan sentuhan penyudah terbaik. Hari ini kami mempunyai banyak peluang untuk ‘membunuh’ perlawanan dengan lepas mudah.
“Ia sangat menakutkan terutama separuh masa pertama kerana kami mendominasi perlawanan, melakukan banyak percubaan, tetapi jaringan tidak muncul. Kami perlu bersabar, namun dalam masa yang sama kami sangat inginkan kemenangan.
“Mereka cuba untuk mengecewakan anda dengan mendominasi perlawanan, tetapi kami tidak membenarkannya. Kami perlu menunjukkan kematangan dan beraksi bijak menentang pasukan seperti Brighton,” katanya.
Menjelang aksi seterusnya pada Ahad ini menentang Liverpool, Arteta mengakui beliau mula bimbang mengenai tahap kecergasan para pemainnya biarpun memiliki kelebihan satu mata ke atas pasukan itu di puncak EPL ketika ini.
“Kami berdepan beberapa isu antaranya tahap kecergasan dan kecederaan pemain. Jorginho salah seorang yang terpaksa diketepikan dan mungkin ada lima atau enam lagi pemain yang tidak berada dalam keadaan baik,” jelasnya. – AGENSI