HANGZHOU – Pemain No. 1 dunia, Viktor Axelsen mengakui cukup gembira apabila menamatkan saingan tahun ini dengan cemerlang selepas menjuarai Kejohanan Jelajah Dunia Akhir 2023 di Stadium Olimpik Hangzhou kelmarin.
Pada perlawanan itu, Axelsen seperti dijangka tidak mempunyai masalah untuk menewaskan wakil tuan rumah, Shi Yuqi dengan keputusan straight-set 21-11, 21-12.
Kata Axelsen, apa yang dilalui pada tahun ini tidak sempurna terutama apabila gagal menjuarai Kejohanan All England dan Kejuaraan Dunia tetapi dalam masa yang sama masih bersyukur dapat kekalkan momentum sehingga penghujung musim.
“Kita mengharungi musim yang cukup panjang dan banyak kekecewaan yang saya lalui. Namun, saya tetap anggap 2023 sebagai tahun yang hebat dan kekalahan yang dialami baru-baru ini memberi pengalaman baharu buat saya.
“Seperti atlet hebat yang lain, saya perlu belajar daripada kekecewaan dan inilah yang saya cuba buktikan pada saingan kali ini untuk bergelar juara kerana ini juga salah satu kejohanan berprestij di dunia,” kata pemain kelahiran Denmark berusia 29 tahun itu.
Sementara itu, bekas pemain No. 1 dunia, Tai Tzu-ying turut melakar sejarah untuk menjadi pemain pertama menjuarai saingan elit itu sebanyak dua kali selepas menewaskan Carolina Marin 12-21, 21-14, 21-18.
“Secara jujur, saya tidak dapat lakukan persiapan yang baik tetapi saya gembira dapat menewaskan pemain berkualiti seperti Carolina Marin dan Chen Yufei untuk menang kejohanan ini buat kali pertama sejak edisi 2021,” katanya. – AGENSI