fbpx

Liga Super: Selangor lunas dendam aksi terakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAISAL menyumbang satu gol ketika Selangor membenam cabaran PDRM pada aksi terakhir Liga Super kelmarin.

PENGENDALI Selangor FC, Tan Cheng Hoe gembira dengan impak yang dipamerkan oleh pemain sayap sensasi, Faisal Halim selepas membantu pasukan menewaskan Polis DiRaja Malaysia (PDRM FC) 3-1 pada aksi terakhir Liga Super kelmarin.

Pada perlawanan di Stadium MB Petaling Jaya itu, Faisal berjaya meledak satu gol buat skuad tuan rumah, manakala dua lagi jaring dilakukan oleh Brendan Gan serta Richmond Boakye.

Kata Cheng Hoe, prestasi konsisten ditampilkan oleh pemain yang mesra dengan panggilan ‘Mickey’ itu menjadi salah satu punca pasukannya mampu meraih kedudukan kedua Liga Super musim ini.

“Kita boleh lihat Faisal agak konsisten sepanjang musim dan ia bukan sahaja di peringkat kelab, malah ketika mewakili skuad kebangsaan bersama Harimau Malaya juga dia dapat kekalkan tempo yang sama.

“Saya rasa mungkin sikap yang positif serta komitmen yang diberikan sepanjang latihan memudahkan lagi dirinya untuk menyerlah. Namun, harus diakui masih ada ruang yang boleh diperbaiki untuk meningkatkan prestasi peribadi.

“Secara keseluruhan, saya sangat gembira dengan prestasi pasukan pada musim ini dengan kombinasi pemain tempatan dan import sangat baik selain cukup harmoni di bilik persalinan,” katanya selepas tamat perlawanan.

Mengulas mengenai kejayaan menewaskan The Cops, Cheng Hoe akui ia bukanlah perlawanan yang mudah kerana saingan yang diberikan pasukan pelawat cukup sengit sepanjang 90 minit perlawanan.

“Di atas padang, kita boleh lihat kualiti yang ada pada PDRM khususnya daripada bertahan dan kita agak bergelut untuk meraih kemenangan meskipun berjaya meledak tiga gol,” katanya.

Kejayaan Selangor meraih gelaran naib juara Liga Super musim ini membolehkan mereka layak bersaing di pentas Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) pada musim depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI