KEJAYAAN Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut wajar menjadi ‘notis amaran’ kepada pencabar lain supaya tampil lebih agresif bagi memperkuatkan pasukan musim depan.
Pihak pengurusan pasukan lain wajar menggerakan tindakan segera untuk menjadikan pertandingan Liga Malaysia lebih kompetitif sekaligus membuang persepsi ia sebagai ‘Liga Petani’.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa, berkata situasi sekarang beri gambaran seolah-olah pasukan lain mula kibar ‘bendera putih’ untuk cuba bersaing terutamanya dalam hal mendapatkan pemain terbaik.
“Johor ada ‘harta Ahmad Albab’ yang tidak habis sedangkan orang lain masih belum jumpa ‘harta Ahmad Albab’. Pasukan lain masih tercari-cari termasuk bantuan kerajaan negeri yang ketika ini kebergantungannya masih amat besar.
“Sekarang ini kelab sudah ada CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) dan kebanyakan mereka seperti tidak ada ‘kuku’ nak cari penaja, bagi kertas kerja pun kertas kosong. Pasukan lain seakan tidak ada kemampuan untuk bersaing dengan JDT bagi mendapatkan pemain berkebolehan.
“Tidak boleh salahkan JDT kerana mereka mampu untuk berbelanja. Jadi, setiap individu yang menaungi kelab perlu menjelmakan ‘harta Ahmad Albab’ kerana kalau tidak ia akan memundurkan lagi liga kita,” katanya ketika dihubungi semalam.
Ketika ini ngauman Harimau Selatan seakan tidak dapat dibendung pasukan lain, malah JDT juga merekodkan 100 gol dalam 26 perlawanan Liga Super, malah turut membolot tiga lagi trofi utama, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Sultan Haji Ahmad Shah.
Dalam masa sama, Mohd. Sadek turut bersetuju tahap kompetitif yang agak rendah dalam saingan domestik beri kesan kepada kualiti JDT di saingan Liga Juara-Juara Asia.
“Ia menunjukkan kegagalan kepada liga kita, tetapi kejayaan kepada JDT. Situasi sekarang tidak baik kepada industri kerana kalau ada pertandingan lebih sengit, pergerakan penyokong (ke tempat lawan) juga besar sekaligus beri kesan baik kepada industri serta ekonomi setempat.
“Perkara ini perlu dilihat secara lebih mendalam oleh MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) kerana kalau kurangnya kompetitif dalam saingan domestik, ia beri kesan kepada JDT di pentas Asia,” katanya.