PETALING JAYA – “Setiap manusia buat kesilapan, jangan kita hukum orang itu dengan kesilapan dia.”
Demikian peringatan yang dititipkan pelakon Hafidz Roshdi buat orang ramai agar tidak terus menghakimi kesilapan orang lain.
Menurut Hafidz yang baru sahaja mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihannya, Athira Yuhada selepas enam bulan menduda, sikap sedemikian akan menyebabkan segala kebaikan yang pernah dibuat individu terbabit seakan-akan ditutup dan dilupakan.
“Jangan kerana satu kesilapan dia buat, semua kebaikan dia kita tak nampak,” katanya ketika ditemu bual dalam sebuah program hiburan, semalam.
Pemilik nama sebenar Muhammad Hafidz Roshdi, 29, itu turut menzahiran rasa syukur apabila ramai mendoakan kesejahteraan perkahwinannya yang berlangsung kelmarin.
Akuinya, masih ramai insan berada di belakangnya menyuntik kata-kata semangat tidak kira dalam apa jua situasi.
“Terima kasih kepada mereka yang menyokong saya daripada dulu sampai sekarang, doakan yang baik-baik untuk saya.
“Semoga yang baik-baik untuk saya dan juga isteri saya serta yang mendoakan kami,” ujarnya.
Sementara itu, Athira pula lega majlis pernikahan dan resepsi mereka berjalan lancar selain menyatakan sudah bersedia mendepani cabaran sebagai isteri.
“Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar. Saya dan Hafidz sangat gembira.
“Sekarang saya sudah sah bergelar isteri kepada Hafidz. Semuanya dipermudahkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE