PETALING JAYA – Tempoh singkat tahanan reman terhadap pegawai kanan polis yang terlibat dalam insiden kematian seorang pelajar tingkatan lima di Jalan Taman Jati, Meru, Ipoh, Perak Jumaat lalu, adalah kerana siasatan kes itu sudah lengkap.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tempoh reman itu adalah bergantung kepada kertas siasatan yang dilengkapkan.
“Suspek telah direman selama tiga hari untuk siasatan sebelum ini. Disebabkan siasatan kes sudah lengkap jadi tiada keperluan kita (polis) untuk sambung reman.
“Jabatan Peguam Negara (AGC) juga telah membuat penilaian bersandarkan kepada siasatan yang dilakukan pegawai penyiasat. Semuanya sudah lengkap jadi kita hormat keputusan AGC,”katanya kepada Kosmo! hari ini.
Mengulas lanjut mengenai tempoh reman, beliau juga berkongsi ini adalah bukan kes pertama tempoh tahanan reman yang singkat.
“Ini bukan kes pertama pelaku ditahan reman dalam masa singkat. Sebelum ini, ada juga tempohnya hanya dua hari.
“Ia adalah bergantung siasatan sekiranya cukup keterangan serta bukti jadi kita lihat tiada keperluan untuk reman lama-lama,”jelasnya lagi.
Semalam Kosmo! melaporkan pegawai kanan polis yang disyaki melanggar pelajar tingkatan lima akan dituduh di bawah Seksyen 302, di Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini.
Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya mendapati terdapat keterangan mencukupi bagi suatu kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap suspek langgar pelajar dalam kejadian yang berlaku di Ipoh, Jumaat lalu.
Menurutnya, ia diputuskan selepas pihaknya membuat penelitian terhadap hasil siasatan dan keterangan yang dikemukakan dalam kertas siasatan.-KOSMO! ONLINE.