PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di tujuh negeri sehingga pukul 12 tengah hari ini.
MetMalaysia menerusi kenyataan di laman sesawangnya hari ini berkata, kawasan di negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor dijangka mengalami cuaca buruk.
Ujarnya, beberapa kawasan pedalaman di Negeri Sembilan turut diramal cuaca yang sama.
“Di Sabah kawasan yang dijangka hujan lebat dan ribut petir adalah Kudat, Pantai Barat, Tawau dan Sandakan.
“Manakala di Sarawak cuaca buruk yang sama hanya melibatkan Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Kapit,” katanya.
Jelasnya, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam. – KOSMO! ONLINE