PENYANYI rap, Cardi B mendedahkan sudah berpisah dengan suaminya, Offset. Perkara tersebut didedahkan penyanyi berusia 31 tahun itu menerusi siaran langsung (live) dalam Instagram miliknya pada 11 Disember lalu.
Ujar Cardi, dia berasa takut untuk mendedahkan perkara tersebut kepada umum, namun terpaksa mengakuinya selepas perpisahannya dengan suaminya yang juga seorang penyanyi itu mula dihidu pihak media.
“Saya teragak-agak pada mulanya untuk mengaku sudah berpisah, tetapi khabar angin tentang hubungan kami mula dapat dihidu media sehingga memaksa saya mendedahkan kebenarannya,” ujar Cardi B.
Khabar angin tentang hubungan antara Cardi dan Offset mulai retak dapat dihidu selepas mereka tidak lagi saling mengikuti dalam media sosial.
Selepas bercerai, Cardi B yang juga ibu kepada dua orang cahaya mata itu telah bersedia untuk memulakan hidup baharu pada tahun hadapan.
“Saya sudah siap untuk memulakan kehidupan baharu pada 2024. Diharap saya dapat menjalani hidup dengan tenang bersama anak-anak,” ujarnya.