MELAKA – Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) akan berunding dengan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berhubung kedudukan pasukan itu untuk kembali semula ke persada Liga Super musim depan.
Presiden MAFA, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, ahli jawatankuasa baharu yang dipilih pada Kongres Tahunan Ke-67 MAFA diberi mandat untuk berunding dengan MFL dalam masa terdekat.
“Insya-Allah ahli jawatankuasa baharu yang dipilih akan berunding dengan MFL mengenai kedudukan Melaka agar kita dapat kembali beraksi dalam saingan Liga Super musim depan. Apa sahaja keputusan rundingan itu nanti kita akan lihat apa syarat-syarat yang dikemukakan MFL untuk menentukannya.
“Saya harap moga Melaka akan kembali semula ke Liga Super kerana ini penting untuk kerangka baharu bola sepak negeri,” katanya dalam sidang akhbar selepas Kongres Tahunan Ke-67 MAFA di sini, hari ini.
Sebelum ini, Melaka United FC disingkirkan beraksi dalam Liga Malaysia musim ini selepas MFL menolak rayuan Melaka United termasuk tidak memberikan lesen kebangsaan.
Jawatankuasa Rayuan Pelesenan MFL mengekalkan keputusan dibuat First Instance Body (FIB), 12 Oktober tahun lalu sekali gus menyaksikan Melaka beraksi dalam Liga M3 musim ini.
Pada Kongres Tahunan Ke-67 MAFA, Ab. Rauf yang juga Ketua Menteri menang tanpa bertanding jawatan Presiden bagi penggal 2023/2026.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United FC, Datuk Mohd. Saiful Mat Sapri juga menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Presiden.
Ia berikutan penyandang jawatan, Datuk Mohd. Yusoff Madi yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak mempertahankan jawatan tersebut, sekali gus memberi laluan mudah kepada Mohd. Saiful.
Bagi jawatan Naib Presiden pula, penyandang, Datuk Khairi Anuar Ahmad mengekalkan jawatan itu selepas turut menang tanpa bertanding.
Tiga lagi muka baharu yang dipilih ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Datuk Fadzil A. Bakar dan C. Revindran.
Lapan barisan Exco terpilih membabitkan tiga penyandang dan lima muka baharu iaitu Mohd. Azizi Shahril Abd. Razak Khalim, Jezlee Pit dan Dr. Siti Faidul Maisarah Abdullah.
Lima muka baharu ialah Dr. Shankar Gunarasa, Syahrul Nizam Shamsuddin, Melvin Tan Ching Yang, Ahmad Khairul Mohd. Noor dan Mohd. Fairuz Azwad Mohd. Zauwawi.
Mengulas mengenai barisan kepimpinan baharu yang dipilih, Ab. Rauf berkata, misi utama adalah untuk mengukuhkan kedudukan bola sepak Melaka daripada pelbagai sudut.
“Kita akan cuba mendapatkan sumbangan daripada pelbagai pihak bagi mengukuhkan kedudukan kewangan MAFA. Saya akan cuba pulihkan bola sepak Melaka terutama menjelang sambutan ke-100 tahun persatuan ini tahun depan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE