fbpx

[VIDEO] Amir Jahari alami kemurungan, tiga kali hampir akhiri hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMIR JAHARI. Foto oleH FIRDAUS JOHARI

SHAH ALAM – Penyanyi Amir Jahari mendedahkan pernah mengalami masalah gangguan mental (kemurungan) yang teruk, sehingga pernah berniat untuk menamatkan riwayat hidupnya sebanyak tiga kali sejak 2018.

Amir atau nama lengkapnya Mohamad Amirullah Jahari, ketika ditemui Kosmo! Online berkata, dia bagaimanapun membatalkan hasrat tersebut selepas terbayang wajah beberapa insan penting dalam hidupnya.

“Saya pernah mengalami kemurungan yang teruk sehingga pernah terdetik untuk mengambil nyawa sendiri dengan terjun dari jambatan sebanyak tiga kali.

“Tapi alhamdulillah, saya tidak teruskan niat untuk menamatkan riwayat sendiri, sebab setiap kali saya nak terjun dari jembatan, saya akan terbayang wajah orang-orang yang saya sayangi.

“Kali pertama, saya terbayang wajah ibu saya. Ketika niat kali kedua pula, saya terbayang muka isteri dan anak. Kali ketiga, saya terbayangkan muka guru saya, Allahyarham Raja Ashman Shah,” katanya kepada Kosmo! Online.

Ujar Amir lagi, selepas tiga kali terdetik untuk mengakhiri hidupnya, pelantun lagu Hasrat itu tekad untuk mendapatkan bantuan dan rawatan untuk mengatasi masalah kemurungan yang dialaminya.

“Sejak itu, saya rasa perlukan bantuan dan rawatan dan telah berjumpa dengan pakar psikiatri, selain mengambil ubat.

“Saya bersyukur kerana keadaan saya semakin baik dan tidak lagi mengambil sebarang ubat sejak 2021,” jelasnya.

Ketika disoal tentang punca dirinya mengalami kemurungan, sekali gus mengganggu kesihatan mentalnya, Amir yang ditemui selepas hari ketiga, Separuh Akhir Muzik-Muzik 38 (SFMM38), disini, hari ini enggan berkongsi tentang perkara tersebut.

“Biarlah saya sendiri yang tahu,” katanya ringkas.

Dalam pada itu, Amir turut berkongsi rasa syukur dan gembira apabila lagu nyanyian dan ciptaannya sendiri berjudul Hasrat, berjaya tersenarai dalam 12 lagu yang layak ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) pada Mac tahun depan.

Sambil menitiskan air mata, Amir berkata dia terharu dan sedih apabila mengenangkan lagu tersebut dihasilkan selepas mendapat tahu berita mengenai arwah bapanya yang menghidap penyakit kanser, beberapa tahun lalu.

“Saya sedih sebab lagu ini saya hasilkan sewaktu dapat tahu ayah saya menghidap penyakit kanser pada 2018.

“Selepas empat tahun melawan penyakit kanser, ayah saya telah pun meninggal dunia pada tahun lepas.

“Jadi, sebab itulah saya menitiskan air mata,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

View this post on Instagram

 

A post shared by HIBGLAM (@hibglam.com.my)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI