BACHOK – Masih terdapat individu yang ingkar di daerah ini yang tetap memilih untuk menangkap ikan dengan menggunakan alat renjatan elektrik meskipun peralatan itu berupaya merosakkan ekosistem alam sekitar.
Terbaharu, dua lelaki dikesan menggunakan peralatan itu dan bertindak melarikan diri sewaktu Jabatan Perikanan Kelantan mengadakan serbuan di dua lokasi menerusi Ops Darat di sini semalam.
Pengarah Jabatan Perikanan Kelantan, Nazri Ishak berkata, kegiatan itu dikesan di dua kawasan sawah padi di Kampung Mokkan dan Kampung Terap di sini.
Katanya, ketika serbuan pertama, kelihatan seorang lelaki sedang menangkap ikan menggunakan alat renjatan elektrik di Kampung Mokkan pada pukul 9.15 malam.
“Suspek bertindaka melarikan diri dengan menunggang motosikal sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa dengan meninggalkan peralatan tersebut.
“Lokasi kedua pula, seorang suspek melakukan kegiatan sama dan melarikan diri di kawasan paya di Kampung Terap kira-kira pukul 10.30 malam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Menurut Nazri, kedua-dua suspek juga tidak sempat membawa hasil pulangan ikan yang telah ditangkap mereka.
Katanya, Jabatan Perikanan Kelantan percaya suspek melakukan aktiviti itu selepas Maghrib atau Isyak dan ia merupakan kes pertama dikesan di daerah ini semasa musim tengkujuh.
Sebelum ini, dua kes penggunaan alat renjatan elektrik dikesan berlaku di Kadok, Kota Bharu dan Kampung Jelor, Pasir Puteh. – K! ONLINE