ALOR SETAR – Persoalan mengenai kehilangan seorang warga emas, Hamat Shaarif, 81, sejak beberapa hari lalu terjawab apabila mayatnya ditemui terapung dalam sungai di Kampung Haji Naik Kayu, Langgar, kira-kira pukul 7.40 malam semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, mayat mangsa dicam oleh ahli keluarga mangsa berdasarkan pakaian serta ciri-ciri lain pada tubuhnya.
“Keluarga mangsa membuat laporan polis mengenai kehilangan mangsa kira-kira pukul 2 petang, Khamis lalu di Balai Polis Pokok Sena dengan dia dikatakan tidak pulang setelah keluar dari rumah dengan menaiki motosikal.
“Pihak kami berusaha menjalankan pencarian, namun semalam mayat mangsa ditemui terapung di sungai kampung tersebut oleh orang ramai,” katanya di sini, hari ini.
Katanya, pengecaman awal di lokasi kejadian dilakukan oleh cucu perempuan warga emas terbabit yang mengenal pasti mayat tersebut adalah datuknya berdasarkan pakaian serta janggutnya,” katanya.
Tambahnya, mayat mangsa kemudiannya dihantar Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk dibedah siasat. – KOSMO! ONLINE