Oleh MOHD. SHAHRULANOOR ISHAK
TEMERLOH – Pasukan penyelamat masih meneruskan operasi mengesan kedudukan mangsa yang terjatuh dari atas bot di Sungai Pahang dekat Kampung Kunjan dekat sini.
Jurucakap Bilik Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang ketika dihubungi berkata, operasi diperluaskan sehingga 40 kilometer dari tempat mangsa dilaporkan hilang.
“Paras air sungai masih normal. Pencarian diperluaskan sehingga Kampung Baru Lebak dan Kampung Durian Tawar melibatkan 11 anggota bomba dan masing-masing 10 anggota polis serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dengan bantuan enam bot,” katanya.
Mangsa, Lokman Hamka, 20, dilaporkan hilang pada pukul 9.30 pagi semalam ketika keluar menaiki bot untuk mengutip hasil tangkapan ikan menggunakan rawai.
Kehilangan nelayan tersebut disedari selepas orang awam menemui bot hanyut di sungai berkenaan. – K! ONLINE