fbpx

Kes Covid-19 naik, guna MySejahtera semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BARU-BARU ini sebanyak 12,757 kes Covid-19 dilaporkan sepanjang Minggu Epidemiologi ke-49 (ME 49/2023) iaitu bagi tempoh 3 hingga 9 Disember, berbanding 6,796 kes yang direkodkan pada minggu sebelumnya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad juga sudah mengingatkan orang ramai supaya mengambil perhatian terhadap peningkatan jangkitan itu.

Susulan itu juga, ramai yang mula bimbang sekiranya kerajaan melaksanakan lockdown seperti yang dilakukan pada tahun 2020 dalam usaha mengawal penyebaran Covid-19.

Di media sosial kini dapat dilihat ramai yang berkongsi semula kisah-kisah semasa sekatan dilaksanakan selama dua tahun, malah ada juga yang masih ­trauma ­dengan keadaan ketika itu.

Selain itu, bukan sahaja risau tidak dapat keluar rumah dan menjalani rutin harian seperti biasa, malah ada juga yang tidak mahu jika kerajaan mengarahkan untuk menggunakan semula aplikasi MySejahtera ketika keluar masuk premis seperti tahun-­tahun sebelum ini.

Bagi yang mungkin sudah lupa, aplikasi MySejahtera sebelum ini dibangunkan bertujuan untuk mengesan kontak rapat bagi memudahkan ujian saringan dibuat.

Namun, selepas kerajaan mengumumkan kontak rapat, kuarantin dan ujian saringan sudah tidak perlu dilaporkan, maka penggunaan MySejahtera di­lihat tidak lagi relevan untuk me­nangani jangkitan Covid-19.

Walaupun ada pelbagai fungsi lain yang boleh digunakan mela­lui MySejahtera seperti membuat janji temu di klinik awam, boleh dikatakan sudah ramai yang membuang aplikasi tersebut dari telefon bimbit masing-masing.

Bagaimanapun, menurut Pe­ngerusi Medical Mythbusters Malaysia, Dr. Ahmad Firdaus Mohd. Haris berkata, dari sudut pandangan epidemiologi aplikasi MySejahtera masih relevan untuk pihak kesihatan menilai tahap sebaran wabak.

“Pihak kesihatan dapat me­ngenal pasti kawasan yang mempunyai wabak dan seterusnya untuk membuat unjuran strategi yang paling sesuai bagi penularan wabak. Ia memberikan gambaran yang lebih jelas tentang situasi terkini wabak secara real time.

“Bagaimanapun, MySejahtera memerlukan pendekatan kese­luruhan masyarakat dan setiap individu haruslah bertanggungjawab untuk membuat laporan dan saringan kendiri,” katanya kepada Kosmo!.

Tambahnya, tanpa pengli­ba­tan komuniti, real world situation tidak dapat di­sampaikan kepada pasukan yang akan mengatur strategi dan polisi.

“Dari segi aplikasi, antara muka pengguna yang lebih mudah perlu diperbaiki serta sistem keselamatan data juga harus diperkukuhkan,” jelasnya.

Sementara itu, ditanya me­ngenai segelintir pihak yang menganggap aplikasi itu adalah membebankan, Dr. Ahmad Firdaus mengingatkan bahawa bagi menangani gelombang Covid-19, ia memerlukan penglibatan setiap lapisan masyarakat.

“Justeru, sebagai masyarakat bertanggungjawab adalah wajar sekiranya kita patuhi apa sahaja peraturan yang dibuat oleh kerajaan dalam usaha untuk mengawal penularan wabak Covid-19 sekiranya kita benar-benar tidak mahu lockdown dilaksana­kan semula,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI