SHAH ALAM – Hujan lebat dengan bacaan 64 milimiter (mm) sejam menjadi punca beberapa kawasan di Shah Alam dilanda banjir kilat, malam kelmarin.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, maklumat berkenaan jumlah hujan tersebut dikeluarkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor semalam.
“Malam semalam, bomba Selangor ada menerima panggilan air naik daripada orang awam di kawasan Bukit Raja, yang terletak berdekatan Shah Alam.
“Didapati longkang tersumbat di kawasan berkenaan yang menyebabkan air naik dianggarkan dua kaki (0.6 meter).
“Tapi waktu kejadian itu, sudah ada pekerja kontraktor yang sedang melakukan kerja pembersihan,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Sementara itu, Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Mohd. Azhar Mohd. Sarif berkata, beberapa longkang yang tersumbat di bandar raya itu menjadi salah satu sebab air naik begitu cepat di beberapa kawasan semalam.
Menurutnya, anggota daripada pasukan Pantas MBSA bersama beberapa pekerja daripada syarikat kontraktor berkaitan telah diarahkan untuk melakukan kerja pembersihan longkang terlibat.
“Selain kawasan perumahan, dua buah terowong yang menghubungkan Seksyen 7 dengan Seksyen U12 turut dinaiki air sehingga kenderaan tidak dapat melaluinya.
“Namun, terowong tersebut dapat digunakan pada 10.15 malam selepas air surut.
“MBSA sentiasa bersedia untuk bertindak 24 jam sekiranya berlaku banjir di Shah Alam pada bila-bila masa,” ujarnya.
Dalam pada itu, salah seorang penduduk, Nur Salina Abdul Rashid, 30, berkata, hujan lebat berlaku pada pukul 6 petang, namun tidak sangka air naik begitu cepat.
Dia yang menyewa rumah di pusat komersial Seksyen 7, di sini berkata, air mulai naik berhadapan pasar raya Giant sekitar pukul 7.30 malam.
“Ada yang tidak bernasib baik apabila kereta mereka dimasuki air, lantas tidak dapat dihidupkan.
“Air mulai surut kira-kira pukul 9.30 malam. Nampaknya, kejadian banjir kilat ini sudah menjadi bencana normal di Shah Alam sekiranya hujan lebat berlaku,” katanya yang sudah menetap 10 tahun di bandar raya itu,” katanya kesal.