KEMAMAN – Seorang bayi berusia seminggu bersama ibunya merupakan antara 464 mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Kampung Air Putih di sini.
Nor Atiqah Najwa Zaniza, 21, berkata, dia dan bayi lelakinya, Ahmad Faiq Arsyad Ahmad Fahmi berpindah ke PPS berkenaan setelah rumah mereka dinaiki air banjir sedalam lebih satu meter semalam.
Dia memberitahu sedang membawa anak keduanya tersebut untuk menjalani pemeriksaan di Klinik Kesihatan Air Putih di sini sewaktu rumahnya ditenggelami air bah.
“Saya tidak dapat balik kerana dimaklumkan rumah sudah dinaiki air banjir. Abang saya yang menemani kemudiannya bergegas pulang untuk membantu mengemas pakaian bayi.
“Dia juga membawa anak sulung say dan ibu saya berpindah ke PPS,” katanya ketika ditemui di PPS Dewan Serbaguna Kampung Air Putih di sini hari ini.
Nor Atiqah Najwa berkata, dia bersyukur semua ahli keluarganya dapat menyelamatkan diri daripada bencana banjir besar tersebut walaupun suaminya tiada di rumah sewaktu kejadian kerana keluar bekerja.
Dia juga lega mereka masih mempunyai tempat berlindung walaupun PPS bukanlah tempat yang selesa buat bayinya dan dia untuk berpantang. – K! ONLINE