SHAH ALAM – Penyanyi Ernie Zakri berharap kemunculannya dalam konsert bersama rakan seperjuangan, Aina Abdul di Singapura dapat meleraikan perbandingan daripada peminat.
Kata Ernie, 31, persetujuan terlibat dalam konsert bersama pelantun lagu Terus Hidup itu juga adalah atas permintaan ramai yang ingin melihat mereka berkongsi pentas.
“Apabila dapat jemputan, macam kawan ajak kawan. Saya menerima dengan hati terbuka dan sangat gembira serta tidak sabar.
“Ramai yang menantikan. Ada yang kata buat lagu duet atau berada di pentas bersama, jadi kami buat ini untuk peminat.
“Itu juga niat (buat konsert bersama) nak orang faham kami tiada masalah dari awal tetapi biasalah peminat mereka suka drama-drama seperti itu. Kami okey sahaja,” katanya kepada Kosmo! Online semalam.
Dalam masa sama, pelantun lagu Korban itu tidak teragak-agak menerima jemputan Aina kerana merupakan peminat penyanyi itu sejak awal memasuki dunia industri.
“Saya bersetuju sebab dia Aina Abdul. Dia adalah seorang penyanyi yang bagus dan saya harus rasa bangga menjadi sebahagian dalam persembahan itu nanti.
“Sebenarnya, saya peminat terawal Aina. Saya tahu lagu pertama yang dilancarkan dan mengikuti perkembangannya,”ujarnya yang memenangi lagu Pilihan Alha Alfa di Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-38 (SFMM38) semalam.
Baru-baru ini Aina mendedahkan Ernie diundang sebagai penyanyi jemputan di Konsert A Night With Aina Abdul yang bakal berlangsung di Singapura 6 Januari kelak.
Aina turut memaklumkan bahawa pemilihan Ernie pada konsertnya adalah untuk menamatkan dakwaan kononnya mereka pernah bermusuhan sebelum ini. – KOSMO! ONLINE