TRIPOLI – Lebih 60 pendatang asing dipercayai terbunuh akibat lemas selepas kapal dinaiki mereka karam di luar pantai Libya, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC) hari ini.
Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) berkata, kapal itu meninggalkan bandar Zuwara bersama kira-kira 86 penumpang.
Ombak tinggi kemudian menenggelamkan kapal tersebut sehingga mengakibatkan seramai 61 penumpang termasuk kanak-kanak dilaporkan hilang dan mati lemas.
Menurut IOM, kebanyakan mangsa insiden itu berasal dari Nigeria, Gambia dan negara-negara Afrika lain.
Seramai 25 mangsa yang selamat dipindahkan ke pusat tahanan Libya dan diberi bantuan perubatan.
Libya adalah antara lokasi utama bagi pendatang yang cuba menyeberangi lautan Mediterranean dan memasuki Eropah.
IOM menganggarkan lebih 2,200 orang mati lemas ketika cuba menyeberangi laut tersebut pada tahun ini sahaja, menjadikannya salah satu laluan migrasi paling berbahaya di dunia.
Jurucakap IOM menyifatkan angka kematian pada tahun ini sebagai dramatik yang menunjukkan bahawa tidak cukup usaha dilakukan untuk menyelamatkan nyawa di laut. – AGENSI