KETUA jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari memberi bayangan kelab akan menandatangani tiga atau empat pemain import baharu bagi memperkuatkan pasukan untuk saingan Liga Malaysia musim depan.
Solari berkata, setakat ini antara pemain yang disahkan akan menyarung jersi Harimau Selatan ialah pemain kelahiran Argentina, Jalil Elias.
Katanya, identiti pemain import yang lain masih belum boleh didedahkan sebelum ia dimuktamadkan oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang akan membuat penilaian.
“Apa yang boleh saya sahkan ialah Jalil (Elias) 100 peratus akan beraksi untuk JDT musim depan. Dia yang telah melepasi ujian perubatan itu bakal menjadi watak penting membantu kelab lebih mantap dan konsisten.
“Pemain berusia 27 tahun itu dijangka dapat memberi impak positif bagi mengemudi bahagian tengah JDT. Pengalamannya di Liga Argentina akan memberi nilai tambah kepada pasukan.
“Walaupun kita ada Leandro (Velazquez), tapi dia masih menjalani proses pemulihan, maka kehadiran Jalil amat penting buat pasukan setelah pemain versatil itu boleh beraksi selaku perancang dan `defensive midfield’, katanya.
Ditanya mengenai khabar angin Akhyar Rashid akan berhijrah ke Terengganu FC (TFC), Solari memberitahu perkara itu di luar kemampuannya dan terpulang kepada pemain itu untuk membuat keputusan.
“Saya mahu Akhyar terus bersama JDT kerana dia adalah ‘game changer’ setiap kali dia dibawa masuk dalam mana-mana perlawanan, oleh sebab itu saya mahu dia kekal di sini. Bagaimanapun, itu terpulang kepada Akhyar untuk tentukan masa depannya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE