PETALING JAYA – Selepas lebih 20 tahun berbakti pada kancah Liga Malaysia (Liga M), Mohd Amri Yahyah akhirnya sah mengumumkan persaraan apabila kempen liga berakhir malam ini.
Pengurusan The Rhinos dalam satu kenyataan semalam dengan mengesahkan pemain berusia 42 tahun itu akan membuat penampilan terakhir pada aksi menentang Kedah Darul Aman (KDA) di Stadium Likas hari ini sebelum ‘gantung but’ sepenuhnya.
“Perlawanan malam esok adalah perlawanan terakhir ‘Wak Am’ sebagai pemain professional. Amri telah bermain bersama pasukan Sabah selama 3 musim bermula tahun 2021-2023.
“Buat Amri, terima kasih atas segala curah bakti kepada pasukan Sabah FC dan Malaysia. Dimanapun anda berada, anda tatap lagenda bola sepak Sabah dan Malaysia.
“Kepada semua penyokong Sabah FC, Ayuh penuhkan Stadium Likas pada perlawanan malam ini sebagai tanda terima kasih serta malam perpisahan kita bersama lagenda Amri,” kata kenyataan tersebut.
Sebagai rekod, Amri telah memulakan karier profesional bersama Selangor bermula tahun 2001 hingga 2013 sebelum berhijrah ke Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 2014 hingga 2016.
Pada musim 2017, bekas penyerang kebangsaan itu berkelana ke Melaka United sebelum pulang sertai Gergasi Merah pada 2018 hingga 2019 sebelum mewakili Sarawak United pada 2020.
Amri yang kini berusia 42 tahun turut mewakili pasukan Harimau Malaya pada 2004 hingga 2017. – KOSMO! ONLINE