PONTIAN – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) melancarkan hibrid baharu nanas yang disifatkan terbaik pernah dihasilkan negara, iaitu MS16.
Ketua Pengarah Mardi, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, MS16 terhasil daripada kacukan induk nanas Josapine dan nanas tanpa duri Australia yang mengambil masa 10 tahun dibangunkan Mardi di stesennya, di sini.
“Keistimewaan nanas MS16 adalah rasa yang lebih manis, ranggup dan tidak lidas selain purata beratnya adalah sekitar 1.5 kilogram (kg) setiap biji.
“Malah, nanas MS16 mampu tahan panas selain toleran kepada penyakit reput teras bakteria yang lazimnya menjadi musuh utama pengusaha nanas di negara ini,” ujarnya pada majlis pelancaran nanas MS16 di Stesen Penyelidikan Mardi Pontian, di sini, hari ini.
Pelancaran hibrid nanas baharu MS16 itu disempurnakan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya.
Mohamad Zabawi menambah, pelancaran nanas hibrid baharu MS16 itu dijangka bakal menjadi ‘game changer’ (perubahan utama) industri nanas negara.
Sementara itu, Zahari berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan penanaman nanas MS16 yang dijangka mula memasuki pasaran pada tahun 2025
Katanya, pada masa yang sama negeri Johor pada masa hadapan mempunyai perancangan untuk memasarkan nanas ke negara China. – KOSMO! ONLINE