fbpx

Janji hotel empat bintang tapi dapat dua bintang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

MELAKA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka menerima kira-kira 390 aduan melibatkan pelbagai kes kepenggunaan termasuk penipuan pakej umrah, sejak awal tahun ini.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, dianggarkan 93 peratus daripada aduan yang disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 telah berjaya diselesaikan dan baki masih dalam proses tindakan.

Ujarnya, antara kes tertinggi direkodkan adalah penipuan membabitkan pakej umrah apabila pihak ejen mengubah lokasi penginapan setelah jemaah tiba di Tanah Suci.

“Kita menerima sebanyak 25 aduan membabitkan pakej umrah di mana jemaah diminta membuat bayaran tambahan sejurus tiba di Tanah Suci.

“Ejen juga menurun taraf hotel penginapan, sebelumnya jemaah dijanjikan hotel empat bintang tetapi ditempatkan di hotel dua bintang, kes-kes ini boleh diambil tindakan di bawah kepenggunaan,” katanya kepada pemberita pada Sambutan Hari Sukan Negara 2023 di Ayer Keroh, di sini, semalam.

Tambahnya, kesemua kes umrah tersebut telah diambil tindakan dan dalam prosiding perbicaraan di mahkamah.

Mengulas lanjut beliau berkata, kesedaran orang ramai mengenai hak sebagai pengguna dilihat semakin meningkat, namun ramai yang mengambil sikap ‘malas’ untuk membuat aduan.

“Sekiranya mereka membuat aduan maka tindakan segera dapat dilakukan oleh penguat kuasa KPDN negeri, sebagai contoh kenaikan harga makanan meskipun hanya 50 sen sahaja tetapi perkara itu boleh dilaporkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI