fbpx

Kuantan dilanda banjir kilat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Beberapa kenderaan awam terbabas ketika kejadian banjir kilat di Jalan Dato Lim Hoe Lek di sini pagi tadi seperti yang tular di laman sosial Facebook hari ini.

Oleh MOHD. SHAHRULANOOR ISHAK

KUANTAN – Beberapa kawasan perumahan dan laluan di pusat bandar ini mula dinaiki air pada kira-kira pukul 8 pagi tadi berikutan hujan lebat di negeri ini sejak dua hari lalu.

Laluan yang dilanda banjir kilat tersebut melibatkan Jalan Dato Lim Hoe Lek berhampiran pintu masuk utama Stadium Darul Makmur serta perumahan Kempadang Makmur dekat sini.

Melalui sebaran di laman sosial hari ini, kejadian di Jalan Dato Lim Hoe Lek tersebut menyebabkan beberapa kenderaan terbabas memasuki longkang, namun tidak melibatkan kecederaan atau kematian.

Selain itu, tinjauan di laluan kenderaan sekitar perumahan Kempadang Makmur di sini mendapati paras air mencecah paras betis dan berkemungkinan terus meningkat sekiranya keadaan hujan lebat berterusan.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd. Zahar Abdullah berkata, pihaknya setakat ini tidak menerima sebarang laporan berhubung pemindahan mangsa banjir di negeri ini.

“Setakat ini, kita (JBPM Pahang) tidak menerima laporan mengenai pemindahan mangsa ke pusat-pusat pemindahan.

“Orang ramai perlu peka dan segera menghubungi pasukan penyelamat sekiranya paras air di kawasan kediaman telah mencecah paras bahaya,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Bilik Gerakan Operasi JBPM Pahang ketika dihubungi berkata, pihaknya juga tidak menerima laporan berhubung penularan video di laman sosial Facebook hari ini yang memaparkan sebuah rumah dihanyutkan arus sungai.

“Pihak kami masih berusaha mendapatkan maklumat mengenai kejadian seperti dalam video tersebut terutama sekali jika melibatkan mangsa yang ada dalam rumah tersebut semasa ia hanyut,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI