PETALING JAYA – “Abang Ibnor masih dalam keadaan sama, kritikal dan ditidurkan”.
Demikian maklum balas isteri kepada penyanyi popular era 1980-an, Ibnor Riza yang kini dikhabarkan berada dalam kondisi membimbangkan.
Ini kerana Ibnor yang disahkan menghidap kanser limfoma masih tidak sedarkan diri selepas pembedahan membuang air di kepalanya pada 2 Disember lalu.
Sarimah atau Seri, 51, buat masa ini memohon orang ramai mendoakan kesihatan suaminya selain memohon maaf tidak dapat berkongsi perkembangan lanjut.
“Saya minta maaf saya tak boleh cakap lama kerana bersama keluarga.
“Kami sekeluarga mohon doa yang baik-baik daripada semua,” katanya.
Terdahulu, rakan seperjuangannya, Azura Aziz ada berkongsi mengenai keadaan kritikal Ibnor dan meminta orang ramai terus mendoakan kesihatan penyanyi berusia 62 tahun itu.
Penyanyi itu masih tidak sedarkan diri sejak menjalani pembedahan mengeluarkan air dalam kepalanya pada 2 Disember lalu.
Sarimah yang juga bekas peserta program Kilauan Emas sebelum ini memaklumkan pembedahan yang berlangsung selama dua jam berjalan lancar, namun suaminya masih ditidurkan bagi memantau keadaan kesihatannya.
Ibnor menjalani pembedahan itu di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM) Bandar Tun Razak, Cheras selepas mengadu sakit kepala.
Pada 10 November lalu, penyanyi itu turut menjalani kimoterapi R-ICE di hospital sama. Dia turut mengalami demam berpanjangan selepas rawatan.
Difahamkan penyanyi Mimpi Yang Tak Sudah itu sudah menjalani kemoterapi sebanyak sembilan pusingan serta berhabis kira-kira RM80,000 bagi membiayai kos rawatan penyakitnya. – KOSMO! ONLINE