NAIB juara Piala Malaysia, Terengganu FC (TFC) mahu penutup Liga Super bertemu Perak malam ini sebagai pengubat luka setelah mengharungi kempen agak mengecewakan musim ini.
Ketua jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner berkata, skuad Sang Penyu tiada pilihan selain memburu kemenangan bagi mengesahkan kedudukan keenam Liga Super musim ini.
“Jika tidak menewaskan Perak, kami berisiko jatuh sehingga dua anak tangga sekiranya KL City dan PDRM FC menang dalam aksi terakhir masing-masing.
“Apatah lagi kami mahu menutup musim ini dengan kemenangan. Saya percaya pemain-pemain juga memiliki misi sama dengan sebahagian mereka bakal kali terakhir bersama TFC,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.
TFC kini di kedudukan keenam berkongsi 37 mata dengan KL City dan PDRM FC namun berisiko tercicir ke tangga kelapan sekiranya mereka tewas manakala dua pasukan itu menang bertemu Sri Pahang dan Selangor.
Kedudukan itu jauh lebih buruk berbanding musim lalu sekaligus gagal mengulangi pencapaian cemerlang sewaktu di bawah kendalian Mohd. Nafuzi Zain yang menyaksikan TFC muncul naib juara liga dan layak ke Piala AFC.
Steinbruckner optimis anak buahnya sudah bangkit daripada kekecewaan gagal menjulang Piala Malaysia minggu lalu apabila garang menewaskan Bali United 2-0 pada saingan Piala AFC, Rabu lalu.
Pengendali berasal Croatia itu berkata, skuad terbaik bakal diturunkan menentang Perak kecuali beberapa tonggak yang masih tercedera seperti Azam Azmi Murad, Alif Zakaria dan Habib Haroon.
Beliau mahu anak buahnya menghadiahkan kemenangan terakhir pada malam ini untuk didedikasikan kepada penyokong setia TFC yang tidak jemu-jemu memberikan sokongan sepanjang musim ini.
“Kami kecewa gagal dalam Piala Malaysia, Piala FA dan Piala AFC namun saya mahu penyokong tetap berbangga dengan skuad TFC yang sentiasa memberikan terbaik,” katanya.
Dalam pada itu, Steinbruckner berkata, persiapan membentuk pasukan lebih mantap pada musim hadapan sedang berjalan lancar.
“Perbincangan kontrak baharu (beliau dan pemain-pemain) berjala positif dan saya dapat dimuktamadkan segera,” katanya. – KOSMO! ONLINE