PETALING JAYA – Pemilik tujuh buah rumah teres di Taman Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Puchong dekat sini terpaksa mengosongkan kediaman mereka selepas berlaku kejadian tanah runtuh malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.26 malam itu, kesemua pemilik diarah berbuat demikian selepas runtuhan tanah itu berlaku berhampiran kediaman mereka.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kejadian tanah runtuh itu melibatkan kawasan seluas kira-kira 50 meter.
Jelasnya, akibat kejadian itu juga sebuah kereta jenis Honda yang diletakkan di hadapan rumah salah seorang penduduk turut mengalami kerosakan.
“Namun kejadian ini tidak melibatkan mangsa.
“Sebagai langkah keselamatan, kita telah mengarahkan penghuni tujuh rumah yang berhampiran kawasan tanah runtuh mengosongkan segera kediaman mereka kerana pergerakan tanah masih berlaku,”katanya dalam satu kenyataan. – KOSMO! ONLINE