fbpx

Liga Super : Kelantan FC tutup tirai saingan dengan bolos 121 gol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemain Kelantan FC, Hafiq Almuhafiz Jasman (kiri) cuba melepasi pemain Kelantan United pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, sebentar tadi. Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/KOSMO!

KOTA BHARU – Kelantan FC menutup tirai saingan Liga Super dengan rekod buruk apabila bolos sebanyak 121 gol sepanjang kempen liga selepas tewas 2-6 kepada seteru setempat, Kelantan United di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebentar tadi.

Turun selaku tuan rumah, Kelantan FC terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-13 melalui rembatan jarak dekat Muhammad Afif Jazimin Mohd. Yusoff apabila menerima lorongan cantik daripada Mohamad Khalaif Mohd. Maskam.

Skuad The Red Warriors (TRW) mendapat peluang keemasan untuk menggandakan jaringan apabila dihadiahkan sepakan penalti apabila Mohamad Khalaif dijatuhkan, namun sepakan diambilnya sendiri pada minit ke-22 terkena tiang.

Kelantan FC sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti selepas Mohamad Khalaif dijatuhkan dan Muhammad Afif Jazimin memastikan sepakannya tepat ke gawang Kelantan United yang terkenal dengan gelaran Sang Kijang Hijau untuk gol kedua kem tuan rumah pada minit ke-26.

Ketinggalan dua gol di belakang, Kelantan United berusaha untuk bangkit dan berhasil merapatkan jurang jaringan melalui tandukan Muhamad Hafiy Haikal Ismail pada minit ke-29 selepas menerima hantaran lintang dari Mohd. Syazwan Zainon.

Sang Kijang Hijau terus berusaha mencari gol penyamaan sementara TRW semakin bersemangat menambah jaringan dan kedudukan kekal 2-1 sehingga tamat separuh masa pertama.

Percaturan pengendali Kelantan United, Nazrulerwan Makmor itu dilihat membuahkan hasil apabila rembatan Sharvin tepat menerjah gawang tuan rumah untuk kembali mengikat kedudukan 2-2 pada minit ke-49.

Sang Kijang Hijau berjaya merubah kedudukan untuk mendahului buat pertama kali dalam perlawanan malam ini melalui jaringan Akinade pada minit ke-49 selepas menerima hantaran kemas daripada Sharvin.

Pasukan tuan rumah kemudiannya menambah tekanan ke atas TRW apabila rembatan Sharvin pada minit ke-75 gagal ditampan kemas oleh penjaga gawang, Muhammad Irfan Haikal Mohd. Iffendi sebelum menerjah gawang untuk gol keempat pelawat.

Memasuki masa kecederaan giliran Royizzat Daud menambah derita Kelantan FC dengan jaringan sebelum Indra Putra menoktahkan kemenangan Sang Kijang Hijau melalui sepakan percuma sebelum tiupan wisel penamat.

Keputusan itu menyaksikan Kelantan FC menjadi pasukan pertama dalam sejarah Liga Malaysia dengan merekodkan sebanyak 121 bolos sepanjang saingan liga sekali gus menghuni kedudukan tercorot manakala Kelantan United mengakhiri saingan Liga Super di tangga ke-12. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI