KUALA LUMPUR – Sepanyol menebus kekecewaan gagal ke final Piala Dunia Hoki Remaja 2023 dengan meraih tempat ketiga selepas menewaskan India 3-1 di Stadium Hoki Nasional hari ini.
Kejayaan itu mengulangi pencapaian terbaik Sepanyol di pentas Piala Dunia Hoki Remaja yang pernah meraih tempat ketiga sewaktu edisi 2005 di Rotterdam, Belanda.
Dalam aksi itu, Sepanyol terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Nicolas Alvarez menerusi gol padang pada minit ke-25.
Bagaimanapun, ia tidak bertahan lama apabila India yang turut mengimpikan peluang menaiki podium pada edisi kali ini berjaya bangkit menyamakan kedudukan berselang tiga minit kemudian menerusi pukulan sudut penalti Sunil Jojo.
Sepanyol yang tewas 1-3 kepada Perancis di separuh akhir sebelum ini, memperlihatkan kemampuan mereka dengan meledak dua gol hasil jaringan padang Pau Petchame pada minit ke-40.
Alvarez membuktikan statusnya sebagai antara penyerang terbaik pada kejohanan kali ini dengan menyumbat gol kedua peribadi untuk menjadikan kedudukan 3-1 buat Sepanyol pada minit ke-51.
India yang tewas 1-4 kepada Jerman di separuh akhir, terpaksa akur dengan kekalahan itu apabila gagal mencari sesuatu dalam baki semnbilan minit selepas itu. – KOSMO! ONLINE