DUA kali melalui fasa perceraian bukan satu hal yang menyeronokkan buat wanita bernama Nadia Annuar.
Dengar perkataan cerai sahaja sudah cukup membuatkan mana-mana pasangan suami isteri ‘seram sejuk’.
Sebenarnya, tiada apa yang hendak dibanggakan apabila status bertukar daripada seorang isteri menjadi ibu tunggal atau janda.
Persoalan sama juga menjadi antara sebab mengapa bekas pengacara Wanita Hari Ini itu, mengambil masa dan tidak terburu-buru berkongsi kisah perceraiannya kepada umum.
Ditanya serik atau tidak untuk mendirikan rumah tangga, jawabnya, ya.
Bukan ingin menutup pintu hati selama-lamanya, pemilik nama penuh Nadia Shahrul Annuar hanya mahu memulihkan hatinya yang terluka kegagalan yang dilaluinya.
“Sekarang ini fasa bertenang selepas kegagalan rumah tangga baru-baru ini.
“Untuk perpisahan kali ini, saya tidak belajar tentang orang lain tetapi menyelami diri sendiri,” katanya kepada Pose baru-baru ini.
Ujarnya, ingin memiliki pasangan saling memahami dan ‘sekufu’ dalam pelbagai aspek adalah antara yang diperlukannya sebagai seorang wanita.
“Saya mula sedar dan tahu jenis lelaki yang diperlukan, terutama saya pula wanita independent dan mampu lakukan banyak hal sendiri.
“Jadi, saya mahu lelaki yang manja dan dimanjakan serta mampu memberi perhatian yang diinginkan setiap wanita.
“Kalau dapat pasangan sama ego dan keras, memang tidak akan serasi serta salah seorangnya rasa terabai,” kongsinya.
Dalam masa sama, dia tidak menolak sekiranya satu hari nanti ditakdirkan bertemu jodoh dengan lelaki lebih muda.
Akuinya, suatu masa dahulu, dia pernah menolak didekati lelaki lebih muda, namun kini pemikiran tersebut berubah.
“Ya, dulu saya memang tolak untuk berkenalan dengan lelaki lebih muda sebab saya pentingkan pasangan yang matang.
“Kini usia sudah 39 tahun, kalau muda, mungkin lelaki berumur 35 boleh dipertimbangkan lagi. Tak mahulah cakap tolak atau tidak sekarang ini, saya serahkan pada takdir sahaja,” tuturnya.
Ditanya perjalanan kariernya, anak kepada usahawan kosmetik Kak Ton itu mengakui berkecil hati kerana dianaktirikan beberapa stesen televisyen tempatan.
Merajuk seperti bakat tidak dihargai, dia mengambil keputusan untuk beralih angin untuk menceburi dunia pengacaraan di Thailand.
“Ya, memang sangat terasa hati ketika ini sebab stesen televisyen banyak mengambil artis menjadi hos program mereka.
“Buat masa sekarang memang tiada sebarang tawaran, malah saya pun bukan jenis letak bayaran mahal pun.
“Jadi, untuk tidak mensia-siakan bakat yang ada, saya kini dalam usaha menembusi pasaran negara luar dalam dunia pengacaraan,” ujarnya yang mahir bertutur bahasa Thailand.