IPOH – Pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintenden yang ditahan bagi membantu siasatan kes langgar pelajar lelaki tingkatan lima di Jalan Taman Jati dekat Meru semalam, direman tiga hari bermula hari ini.
Perintah tahanan reman terhadap lelaki berusia 44 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan
dalam prosiding yang dijalankan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.
Tempoh reman selama tiga hari itu berlangsung sehingga Isnin depan.
Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri ketika dihubungi memberitahu, seramai tujuh saksi telah pun tampil bagi membantu siasatan.
“Sama ada, terdapat saksi lain yang akan dipanggil, ia bergantung kepada siasatan. Setakat ini, seramai tujuh orang saksi yang berada di lokasi kejadian telah tampil beri keterangan.
“Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Kejadian sekitar pukul 12.30 tengah hari itu berlaku membabitkan motosikal jenis Yamaha ditunggang Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie, 17, dan sebuah kereta Perodua Ativa dipandu lelaki berusia 44 tahun.
Difahamkan, berlaku insiden tidak puas hati melibatkan pemandu kereta itu dengan mangsa kerana dikatakan membuat bunyi bising ekzos motosikal.
Suspek yang juga pegawai kanan polis dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah itu dikatakan telah mengejar mangsa sejauh lebih kurang satu kilometer dan melanggarnya dari belakang.
Akibat pelanggaran itu, mangsa terjatuh dari motosikal dan diseret kenderaan berkenaan.
Terdahulu, tinjauan di sekitar lokasi pembinaan Kompleks Mahkamah Ipoh mendapati, terdapat beberapa poster tertera gambar pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati itu ditampal di dinding zink.
Poster gambar mangsa ketika kejadian itu disertakan dengan tulisan ayat; ‘Justice for Muhammad Zaharif Affendi’. – KOSMO! ONLINE