KOTA BHARU – Mangsa banjir di Kelantan semakin bertambah apabila seramai 1,366 orang berpindah ke 21 buah pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 8 pagi tadi.
Meskipun cuaca semakin cerah dan baik hari ini, jumlah itu mencatatkan peningkatan sebanyak 129 orang berbanding 1,237 orang malam semalam.
Sekretariat Pengurusan Bencana Kelantan dalam satu kenyataan berkata, Machang dan Pasir Mas merupakan daerah terbaharu yang terjejas banjir selepas Kuala Krai dan Tanah Merah.
Menurutnya, sebuah PPS dibuka di Machang yang menempatkan 21 mangsa manakala 346 mangsa di empat buah PPS di Pasir Mas.
“Kuala Krai mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 581 mangsa di lapan PPS diikuti Tanah Merah dengan 418 mangsa di lapan buah PPS.
“Semua sungai-sungai utama di negeri berada pada paras normal kecuali Sungai Golok di Rantau Panjang yang melepasi tahap bahaya,” ujarnya.
Katanya, selain itu, paras air di Sungai Semerak di Melor juga sudah melepasi bacaan amaran. – KOSMO! ONLINE