TERSEREMPAK dengan langsuir, sejenis makhluk halus penghisap darah dalam kepercayaan masyarakat Melayu pastinya bukan episod menggembirakan untuk dikenang oleh seseorang.
Ini ditambah dengan suaranya yang nyaring mengilai memecahkan keheningan suasana awal pagi cukup membuatkan bulu roma berdiri dan mencetuskan perasaan seram sejuk.
Berdasarkan pencarian di wikipedia, langsuir dipercayai mampu menyerupai seorang perempuan yang cantik dan menggoda lelaki agar mengikuti mereka ke tempat sunyi.
Seterusnya, langsuir dikatakan akan berubah kembali kepada rupa asal dan akan merobek perut mangsa atau mencekik leher mangsa dan menghisap darah mereka.
Bagi seorang pekerja Pusat Pengumpulan Hasil Ladang (PPHL) Kuala Langat, di Teluk Panglima Garang, Selangor, Sazarul Mustafa Kamal, 24, mengakui pernah bertemu sebanyak dua kali dengan makhluk tersebut.
“Kejadian pertama berlaku pukul 1 pagi pada bulan Oktober lalu ketika saya baru bekerja di sini. Saya ditugaskan untuk memeriksa lori penyejuk sama ada berfungsi dengan baik atau tidak berikutan jarak rumah saya dengan tempat itu agak dekat.
“Sebaik selesai tugasan, saya terkejut apabila ternampak kelibat seorang wanita berambut panjang mengurai duduk di bahagian penumpang hadapan salah sebuah lori di situ.
“Pada mulanya, saya tidak mengesyaki apa-apa. Dengan berbekalkan lampu suluh saya memanggilnya, namun tiada tindak balas. Wanita itu menoleh dengan rambutnya masih menutupi muka sebelum mengilai. Tanpa berfikir panjang, saya mengambil langkah seribu meninggalkan lokasi tersebut. Pucat lesi muka saya pada ketika itu,” katanya kepada Panorama baru-baru ini.
PPHL tersebut terletak di tepi Jalan Waja dengan dikelilingi ladang kelapa sawit. Ia memulakan operasi Oktober tahun lalu.
Pusat pengumpulan tersebut diwujudkan sebagai hab produk pertanian seperti cili, buah-buahan dan ayam segar bagi para petani bukan sahaja Kuala Langat malah seluruh negara.
Menurut Sazarul yang mesra disapa Bob, penampakan langsuir itu tidak berakhir di situ apabila sekali lagi menganggunya bersama rakan sekerja, Ridzuan Sulaiman,26, selang sebulan kemudian.
Ujar pemuda itu, kejadian kali kedua lebih mencabar apabila langsuir itu terbang melintasi hadapan mereka dengan teriakan suaranya yang menyeramkan selama beberapa saat memecahkan keheningan dalam insiden juga kira-kira pukul 1 pagi.
“Walaupun sekejap, namun perasaanya sukar digambarkan apabila diganggu makhluk halus ini.
“Mulut kami tidak berhenti berkumat-kamit membaca apa sahaja surah al-Quran yang terlintas di fikiran agar makhluk menyeramkan itu tidak menganggu kerja-kerja kami,” ujarnya.
Peristiwa tersebut turut diakui oleh Ridzuan yang terserempak dengan makhluk halus itu bertenggek di atas sebuah jentera ketika mahu pulang ke rumah.
Ujar lelaki itu, kejadian berlaku pukul 12 tengah malam sebaik menyelesaikan kerja-kerja pengkeranian di pusat tersebut.
“Bagai hendak luruh jantung apabila melihat wanita berbaju putih itu, namun saya gagahi juga memasuki kereta bersama seorang lagi rakan yang turut melihat kelibat hantu itu.
“Selepas dua insiden ‘gangguan’ tersebut saya kemudian berpindah tempat kerja di Banting atas arahan pihak pentadbir,” katanya.
Kisah penampakan langsuir itu kemudiannya mendorong pihak pengurusan PPHL mengadakan doa selamat bagi memastikan keselamatan kawasan tersebut daripada sebarang gangguan makhluk halus.
Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat, Dr. Abdul Razak Khasbullah menegaskan, terdapat beberapa individu menganggap kawasan ladang sawit ini sebagai lokasi ‘keras’ dengan penunggu sebelum dibeli pertubuhan tersebut.
Ujarnya, ini disokong menerusi pengalaman daripada para pekerja dan masyarakat sekitar yang kerap melihat langsuir tersebut.
“Alhamdulillah, selepas mengadakan doa selamat, PPHL tenang tanpa sebarang gangguan sehingga kini selepas dibuka pada tahun lalu,” jelasnya.
Artikel ini diambil daripada kepercayaan masyarakat di sesuatu tempat sejak zaman-berzaman bertujuan untuk pendidikan dan bukan menggalakkan kepercayaan karut atau tahyul.