BRIGHTON – Penyerang Brighton, Joao Pedro menyifatkan kejayaan membantu Brighton mara ke pusingan 16 Liga Europa musim ini adalah detik terindah dalam kariernya sebagai pemain profesional.
Pedro, 22, meledak gol pada minit ke-88 untuk membantu The Seagulls merekodkan kemenangan 1-0 ke atas Marseille pada aksi terakhir Kumpulan B Liga Europa di Stadium Amex awal pagi semalam.
Jaringan tersebut amat penting buat Brighton untuk melonjak ke tangga teratas Kumpulan B, menolak Marseille ke tangga kedua dan terpaksa bermain aksi playoff ke pusingan 16.
Menariknya, ia turut menyaksikan Pedro muncul penjaring terbanyak Liga Europa ketika ini dengan enam gol, satu mengatasi Pierre-Emerick Aubameyang (Marseille), Fotis Ioannidis (Panathinaikos) dan Romelu Lukaku (Australia).
“Saya sangat gembira kerana ini adalah antara momen bermakna dalam hidup saya. Terima kasih kepada rakan sepasukan yang sentiasa memberikan sokongan.
“Saya langsung tak jangka dapat menjadi penjaring terbanyak Liga Europa. Ia satu perasaan yang amat menakjubkan kerana saya turut membantu pasukan menduduki tangga teratas,” kata Pedro.
Sementara itu, pengurus Brighton, Roberto De Zerbi berbangga dengan kerja keras ditunjukkan anak-anak buahnya walaupun membuka kempen musim ini dengan langkah kiri menerusi satu kekalahan dan satu seri.
“Saya sampai hilang suara meraikan kejayaan ini. Kami berhak untuk meraih kejayaan ini dan kini saya boleh katakan kami cuma selangkah lagi untuk berada pada satu tahap baharu,” jelasnya. – AGENSI